Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 di Malaysia dan Global (pada 22 Nov 2009) |
Written by: admin 29/11/2009 04:26:10
Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 di Malaysia dan Global (pada 22 Nov 2009) Dalam tempoh 15 – 21 November 2009, seramai 599 pesakit baru dengan gejala Influenza-Like Illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan dalam tempoh yang sama 592 kes telah discaj. Pada 21 November 2009, jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 391 kes di 62 buah hospital termasuk 4 hospital swasta. Daripada jumlah kes ILI yang masih dirawat iu, hanya 13 pesakit atau 3% merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal. Dalam tempoh yang sama juga, seramai 6 pesakit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk mendapatkan rawatan lanjut, dan 4 pesakit telah discaj dari Unit Rawatan Rapi. Pada 21 November 2009, 6 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dan keenam-enam kes tersebut mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (3 kes) dan penyakit kronik (3 kes). Tiada kematian akibat Influenza A(H1N1) yang didaftarkan di Malaysia sepanjang minggu lepas dan jumlah kematian masih kekal 77 orang. Sepanjang tempoh seminggu yang lepas, terdapat satu (1) kejadian kluster influenza-like illness (ILI) telah dilaporkan berlaku di Sek. Keb. Penderas, Kuala Krau, Kuantan. Keputusan ujian makmal terhadap sampel klinikal yang diambil secara rawak dari kejadian kluster ini menunjukkan positif influenza A(H1N1). Tindakan kawalan dan pencegahan yang sewajarnya telah dilaksanakan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah sepanjang tempoh kejadian kluster tersebut. Sementara itu, survelan kejadian influenza-like illness yang dijalankan di 619 buah klinik sentinel tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Hanya 5% daripada 444 sampel klinikal diterima oleh makmal yang menjalankan ujian pengesahan adalah positif bagi virus Influenza A(H1N1). Sungguhpun aktiviti pemantauan tidak mencatatkan sebarang kejadian luar biasa, jangkitan Influenza A(H1N1) hakikatnya masih lagi aktif berlaku di dalam komuniti. Situasi Peringakat Global Di peringkat global, sehingga 15 November 2009, sejumlah lebih daripada 526,060 kes yang disahkan H1N1 telah dilaporkan di seluruh dunia dengan lebih 6,770 kematian dari lebih 206 negara. Pihak WHO juga melaporkan bahawa penularan Influenza A(H1N1) telah bertambah aktif terutama sekali di negara-negara dalam zon beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti Amerika Utara, Kanada Barat, Eropah dan Asia. Negara-negara tersebut terus menunjukkan tren peningkatan kadar ILI yang secara luar biasanya bermula lebih awal daripada penularan influenza musim sejuk yang berlaku pada tahun sebelumnya. Survelan virus influenza di negara-negara Eropah menunjukkan peratusan virus influenza A(H1N1) yang dikesan adalah tinggi (lebih dari 99%) berbanding dengan virus influenza bermusim. Manakala negara-negara di Hemisfera Selatan seperti Australia, New Zealand dan negara-negara di Asia Selatan menunjukkan tren penurunan yang ketara.
« Back to Headline |









