Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 di Malaysia dan Global |
Written by: admin 21/11/2009 03:32:23
20 Nov 2009 - Dalam tempoh seminggu yang lepas (8 – 14 November 2009) seramai 619 pesakit baru dengan gejala Influenza-Like Illness (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan sementara itu 679 kes telah discaj. Pada 14 November 2009 (hari terakhir minggu epid 45/2009), jumlah kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara adalah sebanyak 448 kes di 62 buah hospital termasuk 4 hospital swasta. Daripada jumlah kes ILI yang masih dirawat itu, hanya 29 pesakit atau 6% merupakan kes Influenza A(H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal. Dalam tempoh yang sama juga, seramai 2 pesakit telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi untuk mendapatkan rawatan lanjut, dan 2 pesakit telah discaj dari Unit Rawatan Rapi. Pada 14 November 2009, 4 kes masih dirawat di Unit Rawatan Rapi dan kempat-empat kes tersebut mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah 5 tahun (2 kes) dan penyakit kronik (2). Tiada kematian akibat Influenza A(H1N1) yang didaftarkan di Malaysia sepanjang minggu lepas dan jumlah kematian masih kekal 77 orang. Sepanjang tempoh seminggu yang lepas, terdapat satu (1) kejadian kluster influenza-like illness (ILI) telah dilaporkan berlaku di Sek. Keb. Paya Bungor, Kuantan. Keputusan ujian makmal terhadap sampel klinikal yang diambil secara rawak dari kejadian kluster ini menunjukkan positif influenza A(H1N1). Tindakan kawalan dan pencegahan yang sewajarnya telah dilaksanakan oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah sepanjang tempoh kejadian kluster tersebut. Sementara itu, survelan kejadian influenza-like illness yang dijalankan di 619 buah klinik sentinel tidak menunjukkan sebarang peningkatan. Seterusnya, hanya 6% daripada 634 sampel klinikal diterima oleh makmal yang menjalankan ujian pengesahan adalah positif bagi virus Influenza A(H1N1). Sungguhpun aktiviti pemantauan tidak mencatatkan sebarang kejadian luar biasa, jangkitan Influenza A(H1N1) hakikatnya masih lagi aktif berlaku di dalam komuniti. Di peringkat global, sehingga 8 November 2009, sejumlah lebih daripada 503,536 kes yang disahkan H1N1 telah dilaporkan di seluruh dunia dengan lebih 6,260 kematian dari lebih 206 negara. Pihak WHO juga melaporkan bahawa penularan Influenza A(H1N1) telah bertambah aktif terutama sekali di negara-negara dalam zon beriklim sederhana di Hemisfera Utara seperti Amerika Utara, Kanada Barat, Eropah dan Asia. Negara-negara tersebut terus menunjukkan tren peningkatan kadar ILI yang secara luar biasanya bermula lebih awal daripada penularan influenza musim sejuk yang berlaku pada tahun sebelumnya. Survelan virus influenza di negara-negara tersebut menunjukkan peratusan virus influenza A(H1N1) yang dikesan adalah tinggi berbanding dengan virus influeza bermusim. Beberapa kejadian wabak ILI telah dilaporkan berlaku di beberapa buah sekolah di Kanada. Manakala negara-negara di Hemisfera Selatan seperti Australia, New Zealand dan negara-negara di Asia Selatan menunjukkan tren penurunan yang ketara. Walau bagamanapun, kejadian kluster ILI dilaporkan berlaku di ibu negara Argentina. Untuk maklumat terkini berkaitan Influenza H1N1 boleh didapati melalui laman web http://h1n1.moh.gov.my. « Back to Headline |









